Monday, June 15, 2015

Kajian Sains Tentang Pergerakan Solat

Gaya hidup zaman ini sangat moden seiring dengan perkembangan teknologinya. Akan tetapi menjadi malang sekali apabila umat Islam yang hidup gaya moden, tetapi ketinggalan dan jahil tentang pengamalan solat. Solat menjadi suatu yang asing kepada sesetengah golongan, pada mereka, orang yang bersolat adalah orang yang keinggalan zaman. Padahal, hakikatnya??


Penulisan ini bertujuan menyingkap tentang kajian sains yang telah dijalankan tentang postur dan pergerakan solat. Tujuan penulis berkongsi tentang ilmu ini adalah supaya umat Islam dan umat yang masih belum memeluk Islam sama-sama menyedari mengapa umat Islam diwajibkan untuk mendirikan solat.

Kajian Sains tentang Pergerakan Solat memberi perhatian yang besar  terhadap regangan badan dan degupan jantung. Kesan dari dua element ini menghasilkan kaedah rawatan penyakit-penyakit yang pebagai.         
a)      Kajian Pergerakan Solat Terhadap Kadar Denyutan Jantung
Kadar Denyutan Jantung mengukur bilangan pengecutan atau denyutan jantung seminit. Kadar denyutan jantung berubah dengan kegiatan fizikal, postur badan dan persekitaran.
Kadar denyutan jantung bagi orang yang normal ketika keadaan rehat adalah sekitar 60-80 denyutan seminit. Dalam kajian denyutan jantung mendapati denyutan jantung adalah menjadi penentu kepada panyakit kardiovaskular dan denyutan jantung yang tinggi meningkatkan risiko penyakit tersebut[1].
b)      Kajian Pergerakan Solat Terhadap  Regangan
Pergerakan dalam Solat mengandungi aktiviti regangan yang boleh membantu meningkatkan keupayaan seseorang dalam melakukan aktiviti fizikal harian.
Regangan mempunyai banyak kebaikan . Ia dapat mengurangkan ketegangan otot,  mencegah kecederaan, meningkatkan gerakan sendi, memantapkan koordinasi otot, meningkatkan kitaran darah dan meningkatkan prestasi tubuh.[2]
Kajian lain tentang pergerakan solat yang dijalankan oleh Para penyelidik dari Hokkaido Universiti School of Medicine. Mereka  telah menjalankan kajian kesan pergerakan otot dan sendi semasa melakukan solat. Pergerakan sendi-sendi dan otot semasa solat diukur menggunakan goniometer. Goniometer diletakkan di bahagian sendi pada postur yag berbeza. Semasa kajian dijalankan, sudut bagi sendi ini diukur dengan tepat. Hasil kajian mendapati bahawa aktiviti fizikal solat dapat melancarkan pengaliran darah dan kesihatan otot dan tulang. Daripada kajian ini dapat disimpulkan bahawa aktiviti semasa solat boleh digunakan sebagai satu terapi untuk membantu proses pemulihan penyakit sakit sendi dan tulang bagi warga emas dan golongan kurang upaya.[3]
c)      Kajian Pergerakan Solat Terhadap Isyarat Gelombang Otak
Solat secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat-ayat al-Qur’an[4] dan doa-doa yang dipohon kepada Allah yang Maha Esa. Solat juga melibatkan pergerakan-pergerakan seperti ruku‘ dan sujud. Daripada pemerhatian yang dijalankan oleh Jabatan Biomedik Universiti Malaya, pergerakan serta pemabacaan ayat-aya tertentu mempunyai ciri-ciri yang sama seperti meditasi[5].
Jadual 3.1 Kajian Lain Tentang Pergerakan Dalam Solat dan Korelasinya Dengan Kesihatan Manusia [6]

Berdiri tegak dengan simetri antara bahagian kanan dan kiri badan mempunyai beberapa unsur medikal yang perlu dibahas.

3.1 Qiyam (Berdiri Tegak)

3.1.1 Postur Qiyam, Pusat Tumpuan Berat dan Kesannya Terhadap Tubuh
  Pusat tumpuan berat badan tertumpu di bahagian tapak kaki, bahagian kanan dan kiri tapak kaki haruslah menanggung bebanan berat yang sama, kerana berdiri dalam keadaan tegak dan simetri. Di tapak kaki terdapat titik-titik refleksi ataupun akupuntur yang sangat penting untuk meransang organ-organ dalam tubuh orang yang solat. Kaedah menumpu akan membuat postur badan kita lurus, stabil, dan tegap. Tulang punggung berada pada posisi ke hadapan (lordosis); bahagian dada (12 ruas) melengkung ke belakang (kifosis) dan bahagian pinggang (5 ruas) melengkung ke depan lagi (lordosis). Ini adalah posisi normal yang membolehkan susunan tersebut berfungsi optimum, seiring organ-organ lain yang berhubungan dengannya[7].
3.1.2 Postur Qiyam, dan Kesannya Terhadap  Tulang Belakang
Efek dari berdiri Qiyam adalah tumpuan berat badan yang sekata akan membuat susunan tulang belakang menjadi rata. Keadaan ini penting bagi mengurangkan risiko terjadinya patah tulang dengan mudah seperti tergelincir di bilik mandi, jatuh tangga, dan lain-lain.[8]
3.1.3 Postur Qiyam, dan Kesannya Terhadap  Denyutan Jantung
Berdiri tegak juga memberi kesan kepada denyutan jantung. Ketika berdiri tegak, tangan kanan di atas tangan kiri, lalu  menjadikan tinggi bahu dalam keadaan seimbang. Ini kerana, kedua-dua lengan berada pada sudut yang sama. Selain memperkuatkan kedua-dua bahu, postur tangan seperti ini juga dapat menguatkan kedua-dua tapak kaki kerana ia tertumpu pada satu dataran yang sama iaitu tanah[9].
 Pada postur ini juga menjadikan beban tulang pinggul dapat dibahagikan kepada dua anggota tubuh bahagian bawah secara sama rata. Tambahan pula, paksi badan berada dalam satu garisan lurus.[10] Pada postur berdiri, didapati kadar denyutan jantung adalah tertinggi (89 dan 90 denyutan seminit). Ini kerana, jantung  perlu mengepam darah ke otak. Pengaliran darah dari jantung ke otak melawan tarikan graviti[11].


3.2 Takbiratulihram

Mengangkat kedua-dua belah tangan separas bahu ketika takbiratulihram mampu mengembalikan keseimbangan tulang belakang dan menambah luas dada. Pertambahan luas dada menyebabkan kapasiti udara di dalam kedua-dua paru-paru bertambah. Keadaan ini menjadikan kuantiti oksigen yang masuk ke dalam darah juga bertambah. Seterusnya, kualiti darah beroksigen dan nutrient yang dibawa ke sel-sel badan juga akan bertambah.[13]
3.2.1 Postur Takbiratulihram dan Kesannya Terhadap Diafragma
Ketika mengangkat takbir, diafragma beraktiviti. Pada masa yang sama, kalimat takbir ‘Allahu Akbar’ diucapkan ketika dinding rusuk sedang menegang. Untuk membolehkan mengucapkan satu kata pada waktu ini, udara mengalir keluar untuk menggetarkan pita suara. Keadaan ini hanya boleh dilakukan oleh diafragma. Pada masa ini suatu keadaan bertenaga terjadi dan otak menjadi pusat memberi arahan  kerja kepada organ-organ tersebut.[14]
3.2.2 Postur Takbiratulihram dan Kesannya Terhadap Limfe
Ketika ketiak dibuka. Ketiak adalah stesen utama bagi peredaran limfe yang merupakan kumpalan dari keseluruhan anggota gerak bahagian atas (tangan, lengan bawah, lengan atas, dan bahu). Gerakan ini adalah gerakan “active pumping” yang sangat bermanfaat.[15] Setelah takbiratulihram, tangan diletakkan di depan dada. Kedudukan tangan kiri pada dada dan tangan kanan diletakkan diatas tangan kiri. Cara ini dilakukan dengan mengangkat bahu sedikit, tangan sedekap 90º pada sudut siku.[16] Cara ini dapat memastikan ketiak sebagai stesen peredaran limfe tetap terbuka. Tetapi, bagi orang yang malas dan solatnya tidak bersungguh-sungguh, tidak mahu mengangkat sedikit bahunya, maka tangan hanya diletakkan di perut. Bahkan di bawah pusat[17].

3.3 Ruku‘

Ruku‘ seperti yang diterangkan sebelum ini, iaitu punggung, leher, dan kepala dalam keadaan horizontal. Ruku ‘ yang sempurna menjadikan tulang belakang lurus.
3.3.1 Kesan Postur  Ruku‘ Terhadap Regangan dan Struktur Anatomi Badan
Posisi horizontal menjadikan tubuh seakan-akan terdorong ke hadapan.[18] Kedua lengan menjadi penyangga tubuh, tangan memegang lutut. Penyanggaan ini lebih menolak ruas-ruas tulang belakang sehingga mengurangkan tekanan, bahkan terjadinya gerakan anti-tekanan atau regangan. Ini dapat dirasakan pada ketika ruku‘ seperti ada tarikan tulang punggung. Keadaan ini hanya terjadi apabila ruku‘ dilakukan dengan sempuran sehingga terjadi regangan otot-otot punggung. Orang yang bersolat dalam keadaan terburu-buru, dengan melakukan ruku‘ tidak akan merasakan regangan sedemikian kerana otot-otot masih tegang.[19] Bukaan jejari tangan semasa menggenggam lutut ketika ruku‘ dapat menetapkan tulang tempurung kaki. Jika jari dirapatkan berlebihan dan boleh menyebabkan anatomi bahagian tersebut berubah dari posisi asal.[20]

3.3.2  Kesan Pergerakan Ruku‘ Terhadap Kesihatan Jantung
Denyutan jantung menjadi rendah ketika ruku‘ malah postur ini akan memastikan tulang belakang berada dalam keadaan baik. Keadaan postur ini dapat membuka ruang antara spina ‘spina canal’ yang aka mengurangkan risiko penghimpitan urat saraf.[21]
Denyutan jantung semasa postur ini adalah kurang daripada semasa postur berdiri. Ini kerana kedudukan jantung berada sama paras dengan kepala. Oleh yang demikian, jantung lebih mudah mengepam darah ke otak.[22]
3.3.3  Kesan Ruku‘ Terhadap Komposisi Badan
Melalui kajian yang dilakukan oleh Jabatan Bioperubatan Fakulti Kejuteraan Universiti Malaya, didapati bahawa semasa ruku‘, jisim lemak badan berkurang dan jisim otot meningkat.[23]
3.3.4 Kesan Ruku‘ Terhadap Aktiviti Otot
Otot yang terlibat dalam kajian ini adalah otot lengan triseps, otot lengan biseps, otot dada dan otot belakang. Kajian ini menunjukkan bahawa aktiviti pengecutan otot adalah aktif ketika melakukan pergerakan ini. Postur ruku‘ menunjukkan bacaan purata EMG[24] tertinggi pada otot dada. Bacaan EMG pada otot belakang tidak begitu berbeza berbanding otot dada ketika ruku‘ kerana postur badan yang tegak pada ketika itu, tanpa ada daya yang berlebihan untuk menegangkan otot dada atau mengecutkan otot belakang badan.[25]
3.3.5 Kesan Ruku‘ Terhadap Aliran Darah
Ketika ruku‘, posisi tulang belakang adalah selari dengan tanah.daya tarikan bumi terhadap darah di bahagian dada dan kepala menghampiri sifar. Darah yang dipam ke jantung ke kepala tidak dirintangi oleh daya tarikan gravity bumi. Oleh itu, kuantiti darah ke bahagian kepala bertambah sehingga darah beroksigen dan nutrient di bawa dengan jumlah yang banyak ke otak.[26]

 3.3.6 Kajian Postur dan Pergerakan Solat sebagai Terapi Sakit Pinggang
Kajian postur dan pergerakan solat sebagai terapi sakit pinggang telah dijalankan terhadap wanita yang mengalami sakit pinggang dan wanita mengandung yang juga mengalami sakit pinggang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).[27]
a)      Peserta kajian terbahagi kepada 3 kumpulan : Kumpulan A terdiri daripada 7 orang wanita sakit pinggang yang kronik yang berbangsa Melayu, kumpulan B terdiri daripada 15 orang wanita (13 orang wanita Melayu, seorang wanita Cina dan seorang wanita India) mengandung yang mengalami sakit pinggang manakala kumpulan C pula terdiri daripada 7 orang wanita mengandung, (4 orang Melayu, 2 orang Cina dan seorang India) yang mengalami sakit pinggang tetapi tidak menyertai intervensi yang disyorkan.[28]
b)      Intervensi Peserta Sakit Pinggang
Intervensi yang disyorkan kepada peserta kumpulan A yang mengalami sakit pinggang kronik adalah dengan solat sunat tambahan sebanyak 8 rakaat selama 20 minit sebanyak 3 kali seminggu selama tiga bulan[29].
Kumpulan B yang berbangsa Melayu, mereka diminta mengamalkan solat seperti biasa 5 kali sehari dengan postur dan pergerakan yang betul. Bagi peserta yang berbangsa Cina dan India, mereka diminta untuk melakukan senaman terapi yang menyerupai ruku‘. Peserta diminta berdiri tegak selama 8 saat kemudian membongkokkan badan perlahan-lahan 90º.[30]
Kumpulan C terdiri daripada peserta mengandung yang mengalami sakit pinggang namun tidak menyertai intervensi
c)      Keputusan Kajian Postur dan Pergerakan Solat Sebagai Terapi Sakit Pinggang
Isyarat EMG setiap pesarta diambil sebelum dan selepas intervensi. Ternyata hasil yang diperolehi dari kajian, peserta yang mengikuti intervensi yang disarankan mendapat keputusan yang sangat menakjubkan. Bacaan isyarat EMG ketika Peserta kumpulan A dan B melakukan postur ruku‘ selepas intervensi selama tiga bulan mendapati otot pinggang mengecut dengan relaks. Berbeza dengan peserta kumpulan C yang tidak menyertai intervensi, bacaan isyarat EMG mendapati otot pinggang mengecut namun tidak relaks.

3.4 I’tidal

Setelah selesai ruku‘ dan tuma’ninah benar-benar dirasakan pada seluruh ruas tulang, kita melakukan ‘itidal. Gerakan bangkit dari ruku‘, kembali kepada posisi asal yang dilakukan seperti Takbiratulihram.
Jadual 3.4 Pergerakan I’tidal Dalam Solat dan Korelasinya Dengan Kesihatan Manusia[32]

3.5 Sujud

3.5.1 Kesan Sujud Apabila Dilakukan Dengan Cara Yang Betul dan Salah
Ketika gerakan daripada berdiri ke sujud, kedua-dua lutut hendaklah mencecah lantai terlebih dahulu, diikuti kedua-dua belah tangan. Kedudukan ini dapat menjaga postur tulang belakang. Jika tangan diletakkan terlebih dahulu, otot pada tulang belakang terpaksa melengkung sedikit bagi menampung beban pada bahagian atas badan. Ini boleh mendatangkan kecederaan pada ruas-ruas tulang belakang. Gerakan ini dapat memberi senaman kepada kedua-dua otot kaki. Ini amat penting kerana otot kaki merupakan otot yang paling besar dan memerlukan senaman yang kerap bagi menguatkannya. Selain itu, sendi-sendi yang terlibat juga dapat dikuatkan dan turut mendapat kesan yang positif. Postur sujud dapat menambahkan bekalan oksigen ke otak. Kebanyakan mereka yang mengalami sakit kepala adalah disebabkan kurangnya oksigen yang sampai ke bahagian otak.[33]
3.5.2 Postur Sujud Dan Kesannya Terhadap Regangan Otot
Pada postur ini, beban akan teragih pada otot lengan, leher, dan dahi. Beban boleh dirasakan pada setiap anggota tersebut secara berganti-ganti, bergantung tekanan yang dikenakan pada lantai. Otot-otot bahu boleh dikuatkan akibat tekanan yang dikenakan melawan pelingkaran kedua bahu. Keseimbangan posisi tulang belakang dapat dicapai dengan posisi tangan yang simetri antara sebelah kiri dengan kanan. Posisi paha diluruskan tegak dengan kedua-dua lutut di atas lantai memberikan tekanan pada tulang belakang dan perut. Tenaga yang dikerah untuk menampung tekanan ini dapat membantu menguatkan bahagian belakang dan perut. Pengaliran darah beroksigen ke otak dan kemampuan siste-sistem dalamn juga bertambah, ia meningkatkan kemampuan otak serta menambahkan fasa keletihan otak.[34] Jari-jari yang dilentikkan dapat menambahkan kelenturan antara ruasnya. Perlakuan ini juga menggalakkan berlakunya regangan pada bahagian betis. Ini membantu seseorang individu melakukan aktiviti seperti berjalan dan berlari, secara lebih sempurna.[35] Dari sudut fisiologi dan biologi, dapat meningkatkan otot-otot lengan. Kekuatan otot lengan bertambah kerana ia digunakan untuk menampung bebanan berat tulang tubuh.[36]
3.5.3 Postur Sujud Dan Kesannya Terhadap Denyutan Jantung
Daripada kajian yang telah dijalankan, postur ini dapat melancarkan aliran darah dan limfa. Juga didapati denyutan jantung ketika sujud adalah paling rendah (72 dan 73 denyutan seminit). Semasa bersujud kedudukan jantung berada pada paras yang lebih tinggi relative kepada kepala. Oleh itu, ia memudahkan darah turun ke otak dengan dibantu oleh tekanan gravity. Semakin banyak darah mengalir ke otak, semakin banyak darah beroksigen akan sampai ke otak, otak akan menjadi sihat dan cergas. Dengan ini, penyakit yang berkaitan dengan jantung, stress dan darah tinggi dapat dielakkan.[37]
3.5.4 Kebaikan Tama’ninah Ketika Bersujud
Tama’ninah semasa sujud dapat mengelakkan otot kengan dan leher daripada mengalami ketegangan otot. Ini kerana, kerjasama antara otot lengan dan leher memberi kesempatan untuk darah mengalir keluar sisa-sisa metabolism pada otot.[38]

3.6 Duduk Antara Dua Sujud

Ketika duduk antara dua sujud, tangan diletakkan di kedua-dua lutut dengan jari berenggang antara satu sama lain. Keadaan ini memberikan kerehatan kepada kedua-dua lengan. Otot-otot paha bahagian belakang seakan-akan diurut akibat tekanan yang dikenakan oleh tumit. Ini membantu kelancaran pengaliran darah dan mendatangkan kelegaan.[40]

3.7 Tahiyyat Awal

Ketika duduk tahiyyat awal, kaki kiri menekan punggung kiri dan telapak kaki kanan diluruskan. Proses tekanan yang berlaku pada bahagian tersebut akan memaksa darah keluar dari pembuluh darah vena dan sekaligus menjadikan otot itu berfungsi sebagai pam otot. Posisi kedua-dua belah belah tangan yang diletakkan di atas paha dapat memberikan kerehatan pada tangan.[42]

3.8 Tahiyyat akhir

Tahiyyat akhir memberikan kesan yang hampir serupa dengan Tahiyyat awal. Punggung yang diletakkan sepenuhnya ke lantai dapat menampung berat anggota badan secara sekata[43]. Ketika duduk Tahiyyat akhir, punggung kiri terletak di atas lantai, kaki kiri di kehadapankan dan punggung kanan di atas betis kaki kanan. Keadaan ini menjadikan tubuh kelihatan senget dan tidak seimbang.
3.8.1 Tahiyyat akhir dan Kesannya Terhadap Buah Pinggang
Seperti yang kita ketahui, kedudukan ginjal lebih tinggi daripada ginjal kanan[44] kerana hati mengambil ruang yang banyak dia atas ginjal kanan. Pada ketika kita duduk Tashahhud akhir, tubuh bahagian kanan berada ke atas sedikit kerana kaki kanan membaji tubuh, menjadikan kedudukan ginjal kanan dan kiri hampir setara dan seimbang[45].
3.8.2 Tahiyyat akhir dan Kesannya Terhadap Denyutan Jantung
Semasa duduk ketika solat, duduk antara dua sujud mahupun duduk tahiyyat memberi bacaan denyutan jantung 78 denyutan seminit. Ia sedikit tinggi berbanding bacaan ketika sujud kerana jantung perlu mengepam darah dari jantung ke otak[46].
3.8.3 Kesan Membengkokkan Semua Jari Kaki Ketika Duduk Dalam Solat
Hasil kajian yang dilakukan oleh Prof. Ir Dr. Fatimah Ibrahim telah membuktikan pengamalan membengkokkan ke semua jari kaki semasa duduk Tahiyyat awal dan akhir, dapat mengurangkan jisim kolesterol dan jisim otot di bahagian kaki dapat ditingkatkan.[47] Berdasarkan kajian yang dijalankan, kumpulan peserta yang tidak membengkokkan jari semasa sujud dan ketika tahiyyat, kandungan jisim lemak badan mereka bertambah, manakala jisim sel badan pula berkurangan. Akibatnya, tisu otot akan mengecut dan ruang tersebut akan mula dipenuhi oleh gumpalan lemak badan. Keadaan ini akan meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit jantung, strok dan kegemukan. Membengkokkan jari juga dapat merawat pelbagai penyakit yang berkaitan dengan penyakit kelamin lelaki dan wanita.[48]
3.8.4 Duduk Antara Dua Sujud, Tahiyyat Awal dan Akhir dan Kesannya Terhadap Kesihatan Kelamin Lelaki dan Wanita
Ketika duduk tawarruk atau tashahhud, organ testis terlibat dalam terapi organ dalaman ketika melakukan pergerakan ini. Bayi lelaki semasa didalam kandungan lagi mengalami proses penurunan organ testis dari rongga perut melalui saluran di daerah celah paha. Saluran tempat turunnya testis kemudian menutup sebelum lahir. Jika ia tidak menutup, ia dapat dilalui usus yang turun ke kantung testis. Penyakit ini disebut hernia (ketedun). Duduk Tashahhud akhir dapat membuat bahaagian celah paha tertekuk atau tertutup.[49]
Selain itu, posisi duduk tawarruk ini memberi urutan pada beberapa bahagian anggota kelamin yang penting. Manfaatnya untuk mengatasi lemah syahwat. Sedangkan bagi wanita, posisi ini memberi manfaat dalam mengatasi masalah haid dan dingin terhadap seks (frigid).[50]
Pada postur duduk tawarruk juga terjadinya urutan terhadap kelenjar alat kelamin lelaki  iaitu prostate yang terlingkup bahagian atas skorotum. Tambahan lagi, terjadinya urutan terhadap pembuluh saluran pancutan air mani (vandeferensi). Juga urutan terhadap organ pengeras zakar, iaitu satu organ pengembang yang bekerja mengisi darah (bulbuscorporis cavernosi) yang akan menegakkan zakar dan testis.[51]
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Prof. Saboe 1996, semasa duduk diantara dua sujud, tahiyyat awal dan tahiyyat akhir, tumit kaki yang menekan punggung dipercayai dapat mengurut otot-otot lantai pelvik, sekaligus membantu dalam proses ereksi.[52]
3.8.5 Kajian Solat ke Atas Disfungsi Ereksi (DE)
Disfungi Ereksi merupakan penyakit lemah tenaga batin dan ditakrifkan sebagai ketidakupayaan seseorang lelaki untuk mencapai ketegangan (ereksi) zakar yang cukup semasa melakukan hubungan seksual. Ia biasanya terjadi kepada lelaki yang berumur antara 40-45 tahun. Pesakit yang berisiko tinggi menghidapi DE ialah pesakit diabetis, jantung dan darah tinggi. Faktor lain yang menyebabkan DE termasuklah tabiat merokok, minum minuman keras, penyakit berkaitan saraf dan tekanan perasaan.[53]
Kajian dijalankan dengan mengukur ‘ketegangan zakar waktu malam’ atau ‘Nocturnal Penile Tumescence’. Secara lazimnya lelaki normal mendapat ereksi atau ketegangan zakar sekurang-kurangnya tiga kali sewaktu tidur dan isipadunya mestilah melebihi 200%[54].
Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim telah menjalankan kajian keatas dua orang pesakit DE yang telah disahkan oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).[55] Dua orang peserta lelaki yang bersetuju menjadi sukarelawan didalam kajian ini dijalankan pengukuran untuk mengetahui keseriusan DE peserta. Selepas itu, peserta perlu menjalankan intervensi solat (melakukan solat-solat sunat selama 30 minit atau 12 rakaat sekurang-kurangnya 3 kali seminggu). Selepas tempoh sebulan, pengukuran NEVA dijalankan semula ke atas peserta untuk melihat sekiranya ada sebarang perubahan ke atas ereksi, jengka masa ereksi dan perubahan isipadu zakar sewaktu ereksi.[56]
Dua orang pesakit tersebut ialah A berusia 58 tahun, telah berkahwin dan mempunyai 5 orang anak dan telah menghidapi tekanan darah tinggi selama 5 tahun. Pesakit tidak merokok dan rajin bersenam,purata dua kali dalam seminggu[57]. Mengikut hasil kajian yang dijalankan, bacaan NEVA pada malam pertama dan kedua sebelum melakukan intervensi menunjukkan tiada sebarang aktiviti penis berlaku pada malam pertama dan kedua.[58] Selepas sebulan pesakit mengikuti intervensi, pengukuran NEVA dijalankan semula dan mendapati terdapat ereksi penis. Bilangan ereksi meningkat dari 0 ke 1, nilai isipadu 0% ke 199 dan tempoh ereksi meningkat dari 0 ke 30 minit.[59]
Butir-butir bagi peserta B, telah berkahwin, mempunyai lima orang anak, dan telah mengidapi penyakit diabetis mellitus junis dua selama 10 tahun. Pesakit ini juga tidak merokok dan rajin bersenam. Hasil dari pemerhatian dengan pengukur NEVA, bilangan ereksi pesakit meningkat dari 3 ke 4, Nilai isipadu meningkat dari 182.6% ke 219.5% dan tepoh ereksi meningkat dari 22.75 ke 41.25 minit.[60]
Daripada kajian yang dijalankan,dapat disimpulkan solat juga memberi kesan yang positif kepada seseorang yang menghidap penyakit DE. Bagi peserta A, walaupun isipadu darah yang dikesan hanya 199%, ia dalah keputusan yang sangat memberangsangkan walaupun ia belum membolehkan untuk melakukan penetrasi dalam persetubuhan walaubagaimanapun pada awalnya isipadu yang dikesan adalah 0%[61].

3.9 Memberi Salam

Memberi salam melibatkan pergerakan leher dengan memalingkan muka kearah kanan dan kiri. Pergerakan ini dapat menguatkan otot leher. Ini berlaku ketika otot leher tersebut diregangkan semasa membuat pusingan.[62]







[1] Thomas F. Lüscher, “European Heart Journal”, laman sesawang  Oxfordjournals, dicapai 12 Jun 2015, http://eurheartj.oxfordjournals.org/content/36/22.
[2] Fatimah Ibrahim et al., Senaman Regangan & Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),23.
[3] Fatimah IbrahimW.Azman, Pencegahan Penyakit Jantung Dari Perspektif Holistik, (Kuala Lumpur: Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan,Universiti Malaya, 2009), 70.
[4] Fatimah Ibrahim, et. al., Solat Kebaikan dari Perspektif Sains, , (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),56.
[5] Ibid,.
[6] Ahmad Hisham Azizan dan Che Zarrina Sa’ari “Terapi Solat Dalam Menangani Penyakit Gelisah (Anxiety) Menurut Perspektif Psikoterapi Islam” Jurnal Usuluddin 29 (2009), 10.
[7] Sagiran, M. Kes., Sp.B, Mukjizat Gerakan Solat, ed. Triee, (Jakarta: Qultum Media, 2008),39.
[8] Ibid, 40.
[9] Fatimah Ibrahim dan W.Azman, Pencegahan Penyakit Jantung Dari Perspektif Holistik, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009) 75.
[10] Ibid,.
[11] Ibid,.
[12] Ahmad Hisham Azizan dan Che Zarrina Sa’ari “Terapi Solat Dalam Menangani Penyakit Gelisah (Anxiety) Menurut Perspektif Psikoterapi Islam” Jurnal Usuluddin 29 (2009), 11. Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh, 160 Faedah Utama Dan Terapi Solat & Padah Meninggalkan-nya,( Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2007), 194-214. Mu’min al-Haddad (2007), Khusyuk Bukan Mimpi, (Solo: PT Aqwam Media Profetika,2007), 31-36.


[13] Fatimah Ibrahim, Kesan Postur dan Pergerakan Solat terhadap Kesihatan Badan, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014),109.
[14] Sagiran, M. Kes., Sp.B, Mukjizat Gerakan Solat, ed. Triee, (Jakarta: Qultum Media, 2008),43.
[15] Ibid
[16] Fatimah Ibrahim, Kesan Postur dan Pergerakan Solat terhadap Kesihatan Badan, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014),110.
[17] Ibid, 44.
[18] Sagiran, M. Kes., Sp.B, Mukjizat Gerakan Solat, ed. Triee, (Jakarta: Qultum Media, 2008),39.
[19] Ibid,.
[20] Fatimah Ibrahim et al., Senaman Regangan & Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),49.
[21] Fatimah Ibrahim dan W.Azman, Pencegahan Penyakit Jantung Dari Perspektif Holistik, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009) 76.
[22] Ibid,.
[23] Fatimah Ibrahim, Kesan Postur dan Pergerakan Solat terhadap Kesihatan Badan, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014), 86.
[24] EMG merupakan satu kaedah neurofisiologi yang sering digunakan untuk mendiagnosis penyakit otot selain dapat mengukur aktiviti otot.
[25] Fatimah Ibrahim, Kesan Postur dan Pergerakan Solat terhadap Kesihatan Badan, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014), 87.
[26] Ibid, 44.
[27] Fatimah Ibrahim dan Rameezan Begam, Sakit Pinggang: Kaedah Rawatan Melalui Prinsip Pemulihan Serta Postur Dan Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014),47.
[28] Ibid,.
[29] Ibid,51.
[30] Ibid,.
[31]Ahmad Hisham Azizan dan Che Zarrina Sa’ari “Terapi Solat Dalam Menangani Penyakit Gelisah (Anxiety) Menurut Perspektif Psikoterapi Islam” Jurnal Usuluddin 29 (2009), 11. Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh, 160 Faedah Utama Dan Terapi Solat & Padah Meninggalkan-nya,( Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2007), 194-214. Mu’min al-Haddad (2007), Khusyuk Bukan Mimpi, (Solo: PT Aqwam Media Profetika,2007), 31-36.
[32] Ibid,.


[33] Fatimah Ibrahim et al., Senaman Regangan & Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),49.
[34] Fatimah Ibrahim, Kesan Postur dan Pergerakan Solat terhadap Kesihatan Badan, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014),119
[35] Fatimah Ibrahim et al., Senaman Regangan & Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),51.
[36] Fatimah Ibrahim, Kesan Postur dan Pergerakan Solat terhadap Kesihatan Badan, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014),119
[37] Fatimah Ibrahim dan W.Azman, Pencegahan Penyakit Jantung Dari Perspektif Holistik, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009) 77.
[38] Fatimah Ibrahim, Kesan Postur dan Pergerakan Solat terhadap Kesihatan Badan, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014),119
[39]Ahmad Hisham Azizan dan Che Zarrina Sa’ari “Terapi Solat Dalam Menangani Penyakit Gelisah (Anxiety) Menurut Perspektif Psikoterapi Islam” Jurnal Usuluddin 29 (2009), 11. Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh, 160 Faedah Utama Dan Terapi Solat & Padah Meninggalkan-nya,( Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2007), 194-214. Mu’min al-Haddad (2007), Khusyuk Bukan Mimpi, (Solo: PT Aqwam Media Profetika,2007), 31-36.


[40] Fatimah Ibrahim et al., Senaman Regangan & Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),51.
[41] Ahmad Hisham Azizan dan Che Zarrina Sa’ari “Terapi Solat Dalam Menangani Penyakit Gelisah (Anxiety) Menurut Perspektif Psikoterapi Islam” Jurnal Usuluddin 29 (2009), 12. Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh, 160 Faedah Utama Dan Terapi Solat & Padah Meninggalkan-nya,( Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2007), 194-214. Mu’min al-Haddad (2007), Khusyuk Bukan Mimpi, (Solo: PT Aqwam Media Profetika,2007), 31-36.


[42] Fatimah Ibrahim et al., Senaman Regangan & Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),51.
[43] Fatimah Ibrahim et al., Senaman Regangan & Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),51.
[44] Agung Wijaya, Biologi IX untuk Sekolah Menengah Pertama dan MTs, (Jakarta: Grasindo,2006), 3.
[45] Sagiran, M. Kes., Sp.B, Mukjizat Gerakan Solat, ed. Triee, (Jakarta: Qultum Media, 2008),172.
[46] Fatimah Ibrahim dan W.Azman, Pencegahan Penyakit Jantung Dari Perspektif Holistik, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),78.
[47] Fatimah Ibrahim, Kesan Postur dan Pergerakan Solat terhadap Kesihatan Badan, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2014),123
[48] Ibid,124.
[49] Ibid,173.
[50]Sulaiman al-Kumayi, Shalat Penyembahan dan Penyembuhan, (Jakarta Timur: Erlangga,2007) 131.
[51] Ibid,132.
[52] Fatimah Ibrahim, et. al., Solat Kebaikan dari Perspektif Sains, , (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),98.
[53] Ibid, 97.
[54] Ibid, 98.
[55] Ibid, 98.
[56] Ibid, 99
[57] Ibid, 99
[58] Ibid,100.
[59] Ibid, 102.
[60] Ibid, 105.
[61] Ibid, 105.
[62] Fatimah Ibrahim et al., Senaman Regangan & Pergerakan Solat, (Kuala Lumpur:  Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya,2009),51.

Post a Comment